Friday, March 6, 2009

Cinta Jangan Kau Pergi 6

Burung camar yang berterbangan berkumpulan kelihatan menghiasi dada langit.Shafikah berjalan di gigi air Pantai Port Dickson sambil memegang kasut.Ombak yang menggulung dan berkejaran dari tengah laut dan akhirnya rebah menghempas pantai menampar-nampar kakinya.Semua itu,tidak Shafikah hiraukan.Dia tenang berada di sini.Menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan.Bagaikan terbang semua derita yang membelenggu dirinya.

Shafikah tiba-tiba teringat kata-kata yang pernah diucapkan oleh kawannya dulu,

"Kehidupan manusia memang tidak akan lengkap jika tidak bermasalah.Cuba kau pandang ombak.Ia tetap setia menghempas ke pantai,namun akhirnya ia berderai jua. Ombak tu diibaratkan sebagai masalah.Bila ia berderai mungkin masalah itu telah dapat diselesaikan.Selesai satu,datang lagi satu.Apa yang kita perlu buat adalah berjuang mengatasinya"

Shafikah tidak dapat menafikan kata-kata kawannya itu.Pandangannya dilemparkan ke arah pantai yang dipenuhi dengan orang ramai yang datang untuk mandi-manda dan berkelah bersama keluarga.Shafikah tersenyum sendirian mengingatkan ketika dia kecil dulu,dia selalu di bawa ke pantai untuk berkelah.Bagai terngiang-ngiang suara jeritannya mengejar abang Shah yang gemar mengusik.Abah dan ibu hanya tersenyum memerhati gelagat mereka.

Ahh.....rindunya pada mereka.Walaupun jasad mereka telah ditelan bumi,namun kenangan indah bersama mereka masih terpahat di ingatan.Itulah miliknya yang abadi bagi mengubati kerinduan kepada abah,ibu dan abang.Kalau tiada iman di dada,mahu saja Shafikah mengikut jejak mereka.

Tiba-tiba bahu Shafikah di tepuk dari belakang.Aroma minyak wangi Ise Miyake menusuk hidungnya.

"Hai,kak! Termenung jauh nampak.Nasib baik laut tu tetap macam tuh.Macam nak telan aku tengok kau tenung."Zaza tergelak sambil mengusik Shafikah.

Shafikah mengurut dadanya.Nasib baik aku takde sakit jantung.Kalau tak dah lama rebah kat sini.

"Eh,makcik.Yang kau ni pakai sergah jer ni naper?Dah tak pandai beri salam ?Memeranjatkan aku je."Lengan Zaza di tampar lembut.Mukanya masam kerana geram dengan Zaza.

"Nak salahkan aku plak.Aku panggil kau dari jauh lagi,kau tu jer yang tak dengar.Sibuk melayan perasaan.Ika,apa yang kau fikirkan tu.Jangan kusutkan kepala kau lagi.Kita datang sini kan nak bergembira bukan nak tambah beban perasaan."

Sewaktu Zaza mengajak Shafikah ke sini,laju saja Shafikah mengangguk bersetuju.Tapi kini diperhatikan muka Shafikah yang mendung,Zaza mula serba salah.Shafikah hanya senyum mendengar kata-kata Zaza.Di paut tangan Zaza sambil berjalan menyusuri pantai.

"Aku cuma terkenang peristiwa lama.Tiada apa-apa yang perlu kau bimbangkan.Aku ok.Jom kita makan nak?Aku laparlah."

"Kau ni kalau bab makan cepat jer.Jomlah,aku pun lapar jugak.Kejap,ko tunggu aku kat sini.Aku nak pi ambik kasut aku kat bawah pokok tuh,"Zaza segera meleraikan pautan tangan Shafikah seraya menunjuk ke arah sebuah pokok.

"Jangan lama-lama.Kang aku pengsan kelaparan plak kat sini,"jerit Shafikah kepada Zaza yang sedang berlari-lari anak menuju ke pokok tersebut.

Selepas makan,Zaza terus memandu pulang ke rumahnya.Shafikah telah bersetuju untuk menginap di rumahnya untuk beberapa hari.Sebelum itu,dia sempat singgah di kedai untuk membeli sesuatu.

Malam berlalu dengan pantas.Seharian Shafikah mengikut Zaza berjalan. Walaupun terasa letih tapi dia berasa gembira.

"Aku betul-betul gembira hari ni..Za,"kata Shafikah apabila mereka sedang berbaring sementara menunggu mata terpejam.

"Kenapa?"Tanya Zaza perlahan.Tangannya memeluk bantal rapat ke dada.

"Yalah,dapat jalan-jalan makan angin.Dapat makan free.Dapat berbual dengan kau.Tapi macam nak patah kaki aku.Aku rasa dah lama kita tak buat macam ni kan.Lepak-lepak,ronda-ronda."

Tersenyum Zaza mendengarnya.Itulah yang diharapkan agar Shafikah kembali ceria.

"Agak-agak nak dekat 8 tahun ada rasanya.Yalah,lepas dapat result SPM aku ke oversea,future study.Kau plak masuk UITM.Aku balik sini,kau dah kahwin.Sebab tu kita tak dapat buat aktiviti lama macam dulu-dulu.Terutama lepak kat taman bunga sebelum pergi tuisyen. "

"Aku paling tak dapat lupa masa balik sekolah dulu yang kita tengah lepak-lepak kat taman bila kau nampak Haris lalu.Kau cepat-cepat sorok belakang bangku.Pulak tu,Haris datang kepada aku tanya nampak kau ke tak?"Meledak ketawa Shafikah.

"Aku pun tak sangka dia akan cari aku.Kemudian,boleh pulak dia duk sebelah kau borak-borak.Rasa macam nak masuk dalam tanah jer waktu tu.Tapi nasib baik,dia tak perasan yang aku merangkak.Pokok pagar tu jadi penyelamat aku.Malu tak usah citer,dahlah baju sekolah aku kotor.Nasib baik tak ramai orang kat taman masa tuh,"rengus Zaza.Shafikah masih lagi ketawa.

"Siapa suruh kau merangkak?Padanlah dengan muka kau.Kenapa kau tak suka sangat kat dia?Hensem apa dia tu.Top student.Aku dengar mak dia doktor,ayah dia lawyer.Tu pun kau taknak,"Shafikah masih malambakkan ketawanya.

"Ish.Buaya tembaga tu.Muka hensem tapi perangai macam setan.Cari penyakit jer kawan dengan orang macam tu.Tukar perempuan macam tukar baju.Tak kuasa aku nak layan ," kata Zaza sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kau ni.Haris tu ok apa.Masa dia sibuk nak kawan dengan kau tu,aku tengok dia dah kurangkan aktiviti 'tukar baju' tu.Tapi last-last kau cair jugak dengan dia kan."Shafikah cuba mengusik Zaza.

"Aku terima pun pasal aku bosan tengok muka dia yang tak tau malu tu buat muka kesian.Anyway,kau pun tahu..kau punya idea jugak kan.Dia kena bagi kita tuisyen free,jadi tutor tak bertauliah kat kita berdua,"Zaza menjeling Shafikah yang tersengih-sengih.

"Terima kasih banyak-banyak kat Haris.Kalau tak kerana bantuan Haris,kita berdua tak berjaya macam ni.Aku dengar sekarang dia jadi lawyer.Kau tak contact langsung dengan dia ker,Za.Rugi tau,lawyer selalunya kaya-kaya.Senang hidup kau nanti,tak payah keje dengan orang.Jadi 'mem'jer kat umah,"Shafikah cuba mengusik Zaza.

"Aku blah gitu je.Malas lah aku nak layan dia tu.Dia ada jugak call aku kat rumah lepas kita habis SPM.Tapi aku malas nak layan.Last-last senyap macam tu je.Kaya tak kaya.Yang penting hati aku tak tak berkenan dengan dia,"kata Zaza sambil menggosok-gosok matanya.

"Tak baik buat macam tuh.Karang panjang jodoh kau dengan dia baru kau tahu langit tuh tinggi rendah.Jangan plak lepas ni aku dengar orang yang kau tak berkenan tu jadi suami kau."Shafikah menjeling Zaza yang sedang memintal hujung sarung bantal.

Terjengil mata Zaza mendengarnya.Namun,selepas itu dia ketawa.Dia tahu Shafikah sengaja mengusiknya lalu dicubit pipi Shafikah dengan geram.Mereka berdua terus berbual dan akhirnya setelah letih mereka tertidur.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Keratan akhbar Mingguan Malaysia mengenai tawaran kemasukkan sepenuh masa yang di keluarkan oleh Universiti Malaysia Sabah,Shafikah belek dengan minat.Bagus juga kalau aku sambung belajar.Selepas Shafikah mendapat diploma dari UiTM,dia terus bekerja.Dia sebenarnya bercadang untuk menyambung ke peringkat ijazah tetapi berita kemalangan keluarganya telah menyebabkan dia patah hati untuk meneruskan niatnya itu.

Hm...;tempoh pengajian empat tahun.Maksudnya umur aku dah 30 tahun baru aku grade.Dah lama tak pegang buku,agak-agak otak aku ni boleh terima lagi tak agaknya? Takper,baik aku tanya Zaza bila dia balik kerja nanti.Shafikah bermonolog sendiri.

"Baguslah tu Ika.Daripada kau fikir yang bukan-bukan tentang Azhari,baik kau sambung belajar.Ada faedahnya,"Zaza menjawab semasa Shafikah mengutarakan perkara itu.

"Hm,tapi apa kata Azhari nanti.Aku serba salah sebenarnya.Separuh hati aku kata suruh pergi,separuh lagi kata jangan,kesian pada Azhari,"kata Shafikah semasa mereka sedang makan malam.

"Balik-balik jantan tu jugak kau ingat.Dia tu entah-entah langsung tak ingat pada kau.Tak usahlah fikir pasal dia.Buat menyakitkan hati aku je."Pinggan di hadapannya ditolak.Hilang seleranya bila mendengar nama Azhari disebut.

";Buruk-buruk Azhari tu,dia tetap laki aku.Sepatutnya aku yang benci dengan dia,tapi aku tengok kau pulak yang emosional,"jawab Shafikah.

"Suami apa macam tu.Jenguk isteri ikut suka.Entah kau ni hidup ker mati ker,tak pernah ambil kisah.Lelaki macam tulah.Masa sayang kita di tatang,masa benci kita dibuang.Macam pepatah lama kata, 'dah dapat gading bertuah,tanduk sudah tak berguna lagi.Dia dah buat kau macam tu,kau still lagi nak pertahankan dia,"Zaza meluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Ika,aku bukan nak hasut kau supaya tinggalkan Azhari.Tetapi sekali-sekala kau kena fikirkan tentang diri kau jugak.Azhari dah bahagia dengan Rina sehingga sanggup mengabaikan kau.Kau pun sepatutnya buat sesuatu yang boleh menggembirakan kau.Semasa berjauhan nanti,kau fikirlah masak-masak tentang hubungan kau dengan dia.Kutiplah serpihan-serpihan kebahagian kau yang tercicir.Kalau memang telah Tuhan tetapkan Azhari jodoh kau,walau ke hujung dunia pun kau pergi dia tetap milik kau."

"Ika,aku harap kau tebuslah masa kau yang terbuang kerana meratapi Azhari.Capai cita-cita kau dulu kemudian baru kau fikirkan tentang hubungan kau dengan Azhari.Aku tahu ia perit,tapi kau kena tabah.Memang susah nak buat keputusan sekarang tapi aku harap kau fikirkan kata-kata aku ni.Aku sayangkan kau Ika dan aku sentiasa berdoa kau selalu memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.Insya Allah."

Terdiam Shafikah mendengar kata-kata Zaza.Sedikit sebanyak Zaza telah membuka mata hatinya tentang hubungan dia dan Azhari.Aku perlu kuatkan semangat aku.Perjuangan hidupku masih belum selesai.Tanggungjawabku sebagai isteri telah aku jalankan sebaik mungkin.Azhari pula tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadapku selepas memiliki Rina.Oleh itu,Azhari tidak boleh menyalahkan aku sekiranya aku melepaskan tanggungjawabku demi segulung ijazah.Shafikah masih lagi duduk di meja makan walaupun Zaza telah lama berlalu masuk ke dalam biliknya untuk memberi kesempatan Shafikah berfikir.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Azhari masih lagi geram dengan tindakan Rina tidak mahu mengikut dia ke rumah mak dan ayahnya.Jalan di hadapannya pula tiba-tiba sesak.Bertambah-tambah geram di hati Azhari.Nak cepat, dah jadi lambat pula sekarang.Dalam mengingati kenangan bersama Shafikah,dengan tidak semena-mena lagu nyanyian Sheila Majid, 'Cinta Jangan Kau Pergi' ,tiba-tiba ke udara di radio kereta. Azhari bertambah sayu dan rindu pada Shafikah.Lagu tersebut merupakan lagu yang sering dinyanyikan oleh Shafikah.

Dia pernah bertanya pada Shafikah mengapa lagu tersebut menjadi pilihan,namun Shafikah hanya tersenyum dan menyuruh dia mendengarnya dengan teliti.Dia hanya ketawa mendengarnya.Tetapi setelah Shafikah pergi,dia terjumpa kaset nyanyian penyanyi kecil molek itu di dalam kereta Shafikah.Mungkin Shafikah tertinggalkannya.Mula-mula dia rasa lagu tersebut sama seperti lagu penyanyi lain,tetapi semakin lama dia menghayati lagu ini,baru dia faham kenapa Shafikah suka memasang lagu ini setiap kali menaiki kereta dengannya.

Cinta jangan kau lari
Tinggalkan diriku sendiri
Cinta jangan kau pergi
Apalah erti hidup ini
Tanpa cinta dan kasih sayang

Azhari kesal benar dengan tindakan Shafikah meninggalkannya ketika dia sedang bertugas di luar daerah.Namun bila dihitung tindakan dan layanan kepada Shafikah setelah dia menikahi Rina,Azhari mula sedar bahawa Shafikah pergi membawa hati yang luka.Apabila sampai di rumah waktu itu,dia sengaja tidak menekan loceng.Dia mahu memberi kejutan kepada isterinya.Puas di cari Shafikah seluruh rumah,namun tidak di temui.Di dapur telah siap juadah dan air untuknya.Shafikah tahu dia pulang hari ini,hati Azhari girang.Tetapi di mana Shafikah?Mungkin Shafikah keluar dengan kawannya.

Azhari segera duduk di sofa.Dia terasa penat kerana memandu dari Pulau Pinang.Dasi di lehernya di uraikan dan di campakkan di atas meja di depannya.Tiba-tiba dia terpandang sepucuk surat yang berdakwat basah tertera namanya.Tulisan Shafikah ni.Tanpa lengah Azhari membuka surat tersebut dan membacanya.



Buat Abang yang Ika hormati,
Terlebih dahulu Ika nak pohon ampun dan maaf kerana keluar rumah tanpa izin abang.Ika juga harapkan abang halalkan makan dan minum Ika sepanjang 2 tahun kita hidup bersama.Ika tak mampu menanggung perasaan ini bang,sebab itu Ika mohon untuk pergi dari hidup abang kerana Ika tahu abang tak bahagia sepanjang bersama dengan Ika.

Abang,
Ika tahu Ika banyak terhutang budi dengan abang dan keluarga abang.Ika tak mampu nak membalasnya tetapi Ika harap suatu hari nanti Tuhan akan balas budi baik abang sekeluarga.Terima kasih kerana sudi mengambil Ika sebagai isteri dan menjaga Ika dengan baik sepanjang kita berkahwin.Ika anak yatim piatu dan hanya kepada abang,mak dan ayah tempat Ika menumpang kasih.Terima kasih atas segala kasih sayang yang abang sekeluarga berikan.

Abang,
Walaupun kita berdua tak pernah bercinta sebelum kahwin tapi Ika bahagia dengan perkahwinan ini.Ika tahu,abang sebenarnya dipaksa kahwin dengan Ika.Ika minta maaf tapi waktu itu Ika tak tahu.Kalau Ika tahu Ika akan tolak lamaran keluarga abang.Apabila kita telah selamat diijabkabulkan,Ika telah berjanji pada diri akan membuat yang terbaik untuk abang.Meskipun,pada awal perkahwinan Ika rasa diri terabai,Ika sentiasa menunggu saat abang menyedari kewujudan Ika.Kita berdua bahagia selepas itu,Ika rasa gembira sangat kerana Tuhan telah membuka pintu hati abang untuk Ika.

Abang,
Ika minta maaf sekiranya sepanjang kita berkahwin,abang rasa tidak puas hati dengan layanan dan cara Ika.Itu sahaja yang mampu Ika berikan.Ika juga memohon berbanyak-banyak ampun dan maaf dan Ika harap abang sudi maafkan Ika.Ika telah menjadi penghalang di antara hubungan abang dan Rina.Ika tahu bila abang minta izin daripada Ika untuk menikahi Rina,abang sudah tak perlukan Ika dalam hidup abang lagi.Ika mahu abang bahagia dan Ika tak mahu menjadi batu penghalang di antara abang dan Rina.Oleh itu,Ika membuat keputusan untuk pergi.

Abang,
Sepanjang Ika hidup dengan abang,Ika akui abang seorang anak yang taat kepada ibu bapa.Kalau tak masakan abang sudi mengambil Ika sebagai isteri walaupun ketika itu di hati abang hanya tertulis nama Rina..Abang juga seorang suami yang baik dan Ika harap abang akan jadi suami yang terbaik untuk Rina.Ika sentiasa mendoakan kebahagiaan abang.Tentang mak dan ayah,abang tak usah risau kerana Ika telah menulis surat untuk menyatakan sebab Ika pergi.Abang tak perlu bimbang,kerana Ika telah meminta agar abang tidak disalahkan atas pemergian Ika.

Abang,
Pemergian Ika ini diharap dapat menebus kesilapan Ika kerana menghancurkan kebahagian abang dan Rina.Jangan cuba di cari ke mana Ika pergi.Ika akan cuba hidup berdikari tanpa abang di sisi.Ika harap abang hormati keputusan Ika.
Maafkan Ika,bang di atas segalanya.Sesungguhnya,abang tetap dalam hati Ika sampai bila-bila.Selamat tinggal.

Shafikah binti Abdul Aziz



Azhari terpaku.Tidak percaya dengan isi kandungan surat itu.Berkali-kali di baca dan berkali-kali juga di gosok matanya untuk memastikan dia tidak bermimpi.Teringat sesuatu dia tiba-tiba berlari ke kamar.Azhari segera membuka almari baju Shafikah.Kosong,yang ada hanya songket benang emas yang di pakai Shafikah semasa hari persandingan mereka.Setitis air matanya tiba-tiba luruh di pipi.Namun segera disekanya.Azhari memerhati sekitar bilik.Bau wangian Shafikah masih lagi berbekas.

Di atas meja solek,terdapat sebuah kotak baldu yang sederhana besar.Azhari masih ingat kotak itu diberikannya kepada Shafikah pada ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama.Di ambil kotak tersebut dan dia duduk di atas katiil.Kotak tersebut di buka perlahan-lahan,tapi apabila melihat kandungan kotak tersebut tiba-tiba sahaja dia menangis.

Di dalam kotak tersebut,terletak elok semua barang kemas yang pernah di hadiahkannya kepada Shafikah.Yang paling memilukan hatinya,terdapat juga cincin emas putih kesayangan Shafikah.Cincin pernikahan mereka.Azhari benar-benar tidak menyangka bahawa Shafikah sanggup meninggalkan cincin tersebut.Kini dia yakin Shafikah memang benar-benar telah meninggalkan dirinya.

No comments:

Post a Comment